01 Jun 2014- Satu Permulaan...

01 Jun 2014, satu fasa permulaan yang baru untuk anakku Shahijah. Hari ini dia akan melangkahkah kaki ke universiti. Syukur alhamdulillah, semoga ini satu permulaan yang baik untuk masa depannya. Seawal jam 8 pagi kami sekeluarga sudah bergegas ke KKIA 2 untuk persiapan berangkat ke UITM Pasir Gudang Johor. Ketika hendak berlepas, isteriku mendakap erat puteri sulungnya itu, sudah pasti ini adalah satu kesedihan hati seorang ibu untuk kali pertama berjauhan dengan anak yang dikasihi. Tetapi tidak mengapa, inilah yang dikatakan perjuangan. Setiap perjuangan memerlukan pengorbanan. Aku teringat ketika mana aku keluar meninggalkan kampung halaman lebih 20 tahun yang lalu. Memang sedih, tetapi itulah hijrah pertama yang banyak memberi perubahan dalam hidupku. Jika aku tidak berhijrah, pastinya aku tidak berada seperti yang hari ini. 

Jam 12.05 kami selemat sampai di Senai International Airport Johor Baharu. Ini kali kedua aku mendarat di airport ini setelah lebhkurang 21 tahun dulu. Kami bergegas mendapatkan teksi untuk ke UiTM Pasir Gudang kerana anakku tidak sabar untuk mendaftar. Katanya takut terlewat. Tambangnya untuk satu perjalanan pergi RM66.00 saja. Aku fikir berbaloi kerana jaraknya kira agak jauh juga, barangkali agak-agak dari KK ke Bongawan lah begitu. Hampir satu jam, kami sampai ke kampus Uitm Pasir Gudang. Kampus ini agak besar tapi jauh lagi untuk lawan UMS lah dan tidak juga lebih besar berbanding kampus UiTM Sepanggar. Tetapi tempatnya cukup cantik dan selesa kerana kampus ini adalah kampus baru. Anakku  ditempatkan di kediaman Sansabila 4. Satu rumah 4 bilik dan satu bilik didiami oleh 2 pelajar. Kira begitu selesalah dan aku rasa mereka yang yang bersama anakku ini adalah genarasi pertama yang menduduki blok kediaman ini, sebab semua kemudahan seperti katil,tilam dan almari macam belum di usik. Tingkap pun belum ada langsir dan kena tutup pakai kertas mahjong saja. Syukurlah bilik anakku dekat dengan kantin,jadi senanglah turun untuk makan.

Sesuatu yang agak sukar bagiku setibanya di kampus ini ialah tiada 'transport' untuk bergerak keluar kerana difahamkan tiada bas atau teksi yang mengeksis ke sini. Aku tidak tahu macam mana nak bergerak keluar ke pekan berhampiran, anakku ada lagi beberapa keperluan yang hendak dibeli. Mujurlah Allah memberi jalan. Aku berkenalan dengan Abg.Hadi yang turut mendaftarkan anak beliau. Kebetulan menjadi rakan sebilik anakku. Abg.Hadi agak mesra dan prihatin. Beliau pernah bertugas di Sabah 20 tahun dulu, katanya 1988 hingga 1992 di Merotai Tawau. Beliaulah yang menawarkan khidmat percuma membawaku ke pekan berhampiran, membeli segala keperluan yang diperlukan anakku. Beliau jugalah menumpangkan aku keluar dari kampus untuk ke bandar Senai, untuk mencari penginapan sebelum berangkat balik esok pagi. Dengan pertolongan Abg.Hadi dapatlah aku menginap di Rose Cottage Hotel (Taman Impian Senai). Harga bilik murah saja, RM65.00, tapi okey lah memuaskan, bersih dan selesa, tempat makan turun bawah saja, ada kedai makan dan minimarket. Terima kasih abg.Hadi dan famili.

untuk UiTM Pasir Gudang, tempatnya cantik dan amat memuaskan. Cuma barangkali untuk kemudahan pelajar kena disegarakan pengujudan mesin ATM dan kaunter perhubungan pelajar pada setiap blok kediaman bagi memudahkan pelajar menerima serahan kiriman pos atau barangan. Juga barangkali perlu ada kemudahan berkala bas kampus untuk keluar ke pekan berhampiran bagi kemudahan para pelajar jika ada yang mahu membeli bahan keperluan atau berurusan dengan bank dan pos. Apapun terima kasihlah kepada UiTM Kampus Pasir Gudang kerana memberi ruang dan peluang kepada anakku untuk menimba ilmu.

                                                                                                                           (Catatan 03 Jun 2014- Rose Cottage Hotel, Tmn Impian Senai, Johor)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...