Anak Tuan Kebun Yang Kecil Jiwanya..

Hampir 20 tahun peristiwa ini berlaku,tetapi aku belum dapat melupakannya. Sebabnya, pertama aku agak kesal kerana pada waktu itu aku tidak berfikiran seperti hari ini. Waktu itu aku mentah,jika tidak, sudah tentu maruah ayahku terbela.Kedua,apa yang berlaku itu, dilakukan oleh bangsaku sendiri,yang sepatutnya pada waktu itu dia yang 'berkelebihan',harus bertindak sebagai pembela dan ada belas kasihan kepada anak bangsa sendiri yang hidup dalam kedaifan. Tetapi tidak, dia menganggap dirinya pintar dan hebat, telah bertindak sesuka hati pada golongan yang lemah dan daif. Tetapi Allah mahamengetahui, akhirnya dia malu sendiri dengan tindakannya. Dia terdiam dan herdikkan dan makian ibuku yang pada waktu itu tidak dapat menahan amarah terhadap tindakannya. Hidup senang, tetapi sayang jiwanya kecil.

Tentu anda semua tertanya-tanya apa kisanhya ini? Biar saya ceritakan dari mukadimahnya. Ayah saya orang kampung yang hidup susah. Dia membesarkan kami dengan mengusahakan kebun getah orang, dia menoreh kebun orang kampung dan hasil torehan dibahagi dua antara dia dan tuan punya kebun. Puluhan tahun dia bertahan dengan kerjayanya itu. Walapun pun hidup susah dengan pendapatan yang tidak seberapa tetapi tidak pernah meminta-minta. Kerajaan bagi bantuan zink, papan dan tangki air, tapi ayah tidak pernah ambil. Bukan sombong tetapi ayah ada prinsipnya tersendiri. Berbalik kepada kerjaya sebagai penoreh getah, ayah antara penoreh yang paling mahir dikampung. Bekas torehannya halus seperti permukaan papan yang lepas di'katam'. Suatu hari ayah berpindah menoreh di kebun seorang kampung. Oleh kerana tuan punya kebun dah tua maka kebun itu dijaga oleh anaknya.

Setelah beberapa bulan mengusahakan torehan di kebun itu, ayah mula tidak senang dengan sikap anak tuan kebun. Selalu datang ke kebun komplen pasal bekas torehan ayah, yang menurutnya kasar dan merosakkan pokok getah. Bagi ayah, dia telah melakukan sebaik toreh bagi mempastikan pokok getah tidak rosak. Tetapi kesungguhan dan kejujuran kerja ayah ini tetap tidak memuaskan hati anak tuan kebun. Tiada cara lain, ayah mengambil keputusan meninggalkan kebun itu dan beralih ke kebun yang lain. Tetapi rupanya tindakan ayah berpindah kebun tidak menyelesaikan masalah. Anak tuan kebun masih tidak puashati. Beberapa minggu selepas itu, anak tuan kebun telah datang ke tempat tinggal ayah dengan membawa seorang anggota Polis untuk menggelidah sesuatu. Rupanya anak tuan kebun suspek bahawa ayah mencuri beberapa keping papan dan kayu beruti dari pondok di kebunnya. Kebetulan dibelakang rumah tempat ayah tinggal ada selonggok kayu papan dan beruti, milik tuan rumah tempat ayah tinggal. Kerana hati yang kotor, anak tuan kebun dengan tanpa usul periksa telah membawa anggota Polis untuk memeriksa kayunya yang dia fikir telah dilarikan oleh ayah.

Akhirnya anak tuan kebun malu sendiri. Kayu yang disangkanya miliknya yang telah dicuri oleh ayah, rupa-rupanya adalah milik tuan rumah tempat tinggal ayah. Dia tidak dapat berbuat apa-apa. Ibu yang berapa dirumah pada waktu itu sangat marah dan menghembur kemarahannya kepada anak tuan kebun itu. Waktu itu hilang kegagahannya dan hanya tertunduk malu tak terkata apa-apa. Dia pulang dengan tangan kosong dan niatnya untuk menangkap ayah sia-sia. 

Semua ini diceritakan oleh ayah seminggu kemudian apabila saya sampai dikampung. Tetapi waktu itu fikiran saya sangat daif,tak tahu apa nak buat. Sepatutnya saya perlu membuat laporan Polis pada waktu itu, terhadap tindakan anak tuan kebun itu, membuat tindakan melulu dan membuat aduan palsu. Kalaulah kejadian itu berlaku pada waktu sekarang, saya akan upah peguam untuk membuat saman malu kepada sipolan itu. Semuanya sudah berlalu. Tetapi sesalan saya tidak pernah berlalu. Orang itu telah memalukan ayah dengan kesombongannya. Selepas daripada kejadian itu, saya tidak pernah berjumpa dengan si polan itu. Mahu  juga melihat dia waktu ini. Dimanakah dia, apakah bentuknya. Kesian ayahku, diperlakukan dengan sebegitu rupa oleh manusia yang menyangka dia hebat tetapi sebenarnya jiwanya kecil, sekecil tempurung kelapa.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...