Harapan Dan Masa Depan PBS, Siapa Bakal Nakhoda, Kemana Halatuju ?

Datuk Dr.Maximus Ongkili, Timbalan Presiden PBS, tidak syak lagi beliau mempunyai peluang yang lebih untuk mengambilalih teraju kepimpinan PBS apabila Tan Sri Pairin bersara kelak.

Datuk Jamilah Sulaiman, Timbalan presiden kuota bumiputera Islam yang baru, mengalahkan Datuk Almudin Kaida. Sebelum ini adalah ketua wanita, orang lama dalam parti dan kesetiaan kepada parti teruji untuk tempoh yang sekian lama. Kini merupakan seorang Ahli Dewan Negara. Selamat menjalankan tugas sebagai timbalan presiden yang baru.

Kongress PBS yang berakhir 23 Oktober 2014 yang lalu, sangat menarik perhatian saya. Ini disebabkan beberapa perkara yang berlaku atau kelihatan berlaku kepada parti tempatan Sabah yang berjenama besar ini. Kenyataan presiden PBS Huguan Siou Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sebelum PRU13 lalu, yang dipetik beliau sebagai berkata bahawa PRU13 adalah pilihanraya terakhir untuk beliau bertanding, sekaligus membayangkan satu kemungkinan bahawa beliau akan menyerahkan kepimpinan PBS kepada barisan yang baru. Kekalahan calon-calon PBS di beberapa kubu kuatnya pada PRU13 yang lalu merupakan satu isyarat  kemerosotan sokongan kepada PBS sekaligus satu 'isyarat kecemasan' kepada PBS supaya segara membuat pembaharuan dalam PBS demi untuk mengembalikan sokongan para penyokong kepada parti.

Bertolak kepada dua perkara ini, saya melihat kongress kali ini penting untuk memberi isyarat kepada kelangsungan halatuju dan masa depan PBS. Ketika rakan-rakan lain giat mengatur dan merencana tranformasi dalam kepimpinan parti, PBS juga perlu melakukan perkara yang sama setelah sekian lama parti yang pernah menjadi  'gergasi politik' Sabah ini terus releven dimata rakyat Sabah. Pemilihan untuk jawatan-jawatan utama dalam parti pada kali ini dilihat sebagai sesuatu yang penting untuk menjana satu harapan baru untuk membawa PBS bangkit menjadi lebih kuat dan dapat menebus kembali kerusi-kerusi kubu kuatnya seperti DUN Matunggung, DUN Kedamaian, dan DUN Inanam pada PRU14 nanti. Kerusi-kerusi ini amat penting untuk PBS kerana semanjak ditubuhkan PBS tidak pernah tumbang disini malahan ketika mereka menentang BN dulu pun calon-calon PBS tetap dapat memepertahankan kerusi-kerusi ini. Tetapi kini walaupun disokong oleh jentera kuat BN PBS tetap tersungkur dan gagal di kubu kuatnya.. Mujurlah DUN Kiulu dapat dipertahankan dengan majoriti yang kurang 100 undi. Apakah erti kekalahan ini kepada PBS?

Amat jelas betapa PBS perlu berubah dan perlu menyedari sokongan kepadanya tidak lagi sehebat dulu. Maaflah kalau saya katakan bahawa hayat PBS yang ada pada hari ini banyak bergantung kepada BN. Anda  tanpa dokongan jentera BN, barangkali dalam PRU13 yang lalu  PBS hanya tinggal DUN Tambunan. Satu lagi,  kelangsungan PBS juga terlalu bergantung kepada pengaruh dan karisme Tan Sri Pairin. Jika tanpa BN dan tanpa Tan Sri Pairin, barangkali PBS tidak akan berupaya meletakkan sebarang wakil di DUN Sabah dan di Parlimen Malaysia.  Inilah realiti yang perlu dilihat dilihat oleh seluruh pendokong PBS. Suatu ketika Tan Sri Pairin pasti akan berundur dan akan mewariskan kepimpinan PBS kepada pemimpin yang sedia ada. Tetapi hari ini saya secara pandangan peribadi belum melihat sebarang tanda untuk mana-mana pemimpin sedia ada dalam PBS yang mampu menandingi keupayaan Tan Sri Sri Pairin memimpin dan menyatu ahli-ahli PBS.

Kemenangan Datuk Dr.Maximus Ongkili mempertahankan jawatan timbalan presiden kuota bumiputera bukan Islam sedikit dapat memberi gambaran bahawa Dr.Maximus adalah pemimpin yang paling berktrampilan untuk mengambilalih pimpinan PBS. Tetapi mampukah Dr.Maximus untuk diterima oleh keseluruhan barisan saf kempimpinan PBS? Ataupun PBS akan berhadapan dengan kemungkinan akan berlaku perebutan jawatan? Mengelakkan sebarang kemungkinan itu, Tan Sri Pairin perlu memberi isyarat awal akan pengganti beliau. Satu lagi yang boleh menjadi saingan kepada Dr.Maximus dalam mewarisi kepimpinan tertinggi PBS adalah timbalan presiden dari kuota bumiputera Islam. Bagaimanapun perkembangan terbaru daripada pemilihan pada 23hb Oktober lalu tidak memberikan sebarang keyakinan untuk tokoh dari kuota bumpiputera Islam bagi mengambilalih teraju kepimpinan PBS. Kekalahan penyandang Datuk Almudin Kaida kepada pencabarnya bekas ketua wanita YB Senator Datuk Jamilah Sulaiman, menafikan peluang Datuk Almudin untuk pergi jauh ke aras yang lebih tinggi. Datuk Jamilah Sulaiman selaku timbalan presdien yang baru juga dilihat tidak mempunyai cukup kekuatan untuk bersaing dengan Dr.Maximus.

Kemana halatuju PBS selepas ini terutama sekali apabila selepas pengunduran Tan Sri Pairin suatu ketika nanti? Suka atau tidak,saya melihat PBS sebagai 'parti tua' bilamana parti ini belum berjaya 'meremajakan' partinya. Sayap pemuda yang baru mendapat ketua baru, kelihatan tidak begitu berkesan dalam melahirkan pemimpin-pemimpin muda sebagai pelapis. Ketua Pemuda yang baru tidak datang dari dalam saf pemuda yang sedia ada, ini boleh dilihat sebagai satu kegagalan kepada pemuda untuk melahirkan tokoh hatta untuk menerajui kepimpinan sayap pemuda sendiri. Datuk Jake Nointen adalah ketua bahagian Liawan. Alangkah manisnya kalau ketua pemuda datang dari kepimpinan pemuda sendiri. Meninjau kepada barisan naib presiden yang baru ternyata masih bergantung kepada muka-muka lama yang telah veteren dalam parti. Datuk Michael Asang dan Datuk Raden Maleh adalah orang lama dan senior dalam parti, apa yang sepatutnya ialah penampilan muka-muka baru yang lebih muda. Dikalangan wanita juga, sekalipun mendapat ketua yang baru selepas Datuk Jamiah Sulaiman tidak memepertahankan jawatan, namun tokoh yang dipilih juga adalah orang lama, hanya baru menampilkan diri dalam kepimpinan parti. Sayangnya para perwakilan belum dapat memberi kepercayaan kepada tokoh muda Sabini Ansumor untuk menerajui sayap wanita. Begitu juga dalam saf kempimpinan kuota Cina, sekalipun tewas dalam PRU13 yang lalu Datuk Dr.Yee Moh Chai masih dikekalkan oleh para perwakilan untuk jawatan timbalan presiden. Datuk Edward Yong Oi Fah yang kelihatan konsisten dan berjaya memepertahankan kerusinya pada PRU13 yang lalu, nampaknya belum dapat dinilai oleh majoriti perwakilan yang mengundi. Sayang, tokonh-tokoh baru meningkat naik seperti Datuk Linda Tsen (MP Batu Sepi) dan Datuk Mary Yapp (PM Tawau merangkap Timbalan Menteri Pendidikan) belum mahu ditampilkan oleh bahagian-bahagian PBS untuk mengisi jawatan-jawatan tinggi dalam parti.

Kemana halatuju PBS akan datang? Merampas kembali DUN Matunggong,Kedamaian,Inanam dan Api Api serta Sri Tanjung bersama parlimen Kota Kinabalu adalah satu perjuangan besar untuk PBS pada PRU14 nanti. Mampukah PBS ? Mampukah PBS terus menjadi parti tempatan yang unggul dan terbesar di negeri Sabah. PBS perlu jadi dinamik dan tidak hanya tunggal sebagai slogan. 

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...