1 Syawal Di Kg.Telaga

Masjid Jamek Kg.Telaga

Kali pertama menyambut 1 Syawal di Kg.Telaga Pitas Sabah,tidaklah menjadikan sesuatu yang asing buat saya. Tiada yang kelihatan berbeza kerana suasana tetap sama, cuma orangnya saja yang berlainan. Setelah lebih 16 tahun merayakan 1 Syawal di Kg.Rampayan  Kota Belud, hari ini tiba giliran Kg. Telaga. Seawal jam 6 pagi saya sudah bersiap sedia, ini kerana jika saya tiba lewat, ianya akan memungkinkan ruang untuk menunaikan solat akan penuh. Bagaimanapun seawal jam 7.35 pagi barulah saya dapat menuju ke masjed Jamek Kg.Telaga. Satu yang sedikit menghairan, walaupun ketika tiba di masjid,waktu sudah pun pukul 7.45 pagi, tapi suasana dalam masjid masih lengang, belum ramai jemaah aidilfitri yang tiba.  Jika di masjid-masjid di Bandar K.Kinabalu, sudah tentu dalam waktu-waktu begini, jemaah telah melimpah ruah hingga ke jalanraya.
 
Setiba dalam masjid,seperti biasa saya menyertai jemaah lain tertakbir membesarkan Illahi,sebelum tiba masa untuk solat sunat aidilfitrti. Seperti biasa juga, sebelum solat dilangsungkan, petugas masjid akan mengutip derma dan sumbangan daripada jemaah yang hadir. Tetapi sedikit kelainan disini, dua orang petugas masjid yang ditugaskan mengutip derma, melakukan dengan sedikit kelainan. Kebiasaannya petugas akan membawa uncang melintasi depan setiap saf  dan jemaah yang ingin menderma hanya perlu meletak wang kedalam uncang. Tetapi di masjid jamek Kg.Telaga ini, dua orang petugas yang diamanahkan mengutip derma dari jemaah, melakukannya dengan cara menggantung uncang wang ditengkuk mereka sambil mendatangi para jemaah dengan duduk berteleku didepan setiap jemaah.Walaupun cara ini agak memakan masa sehingga solat sunat hanya dapat dimulakan pada jam 8.50 pagi tetapi sudah tentu cara ini mempunyai  simbolik dan cerita asal mulanya. Sesuatu yang menyentuh perasaan apabila setelah selesai solat dan bacaan khutbah, para jemaah berpelukan bermaaf-maafan sesama rakan dan saudara-mara. Saya mengambil kesempatan berpeluk salam dengan khatib yang baru turun dari mimbar. Walaupun kami saling tidak mengenali, tetapi amalan ini terasa begitu mendekatkan ukhuwah antara kami,  saudara seagama.

Meninggalkan masjid pada kira-kira jam 9.30 pagi. Bapa mertua saya berpatah balik ke masjid.Tujuannya untuk membawa ‘dulang’. Penduduk kg.Telaga mengamalkan amalan ‘berdulang’ dimana para penduduk yang  menyertainya, masing-masing akan membawa makanan ke masjid untuk dinikmati bersama-sama di masjid. Di kebanyakkan kampung di Kota Belud, amalan ‘berdulang’ tidak dilakukan dengan membawa makanan ke masjid tetapi sebaliknya dihantar terus ke rumah penerima yan ditentukan oleh pemberi sendiri. Sekalipun amalan ini hanya dilakukan di beberapa buah kampung tertentu tetapi amalan seumpama ini sedikit sebanyak merupakan satu praktis yang mampu mendekatkan semangat silaturrahim dikalangan penduduk selain amalan kunjung mengunjung selepas itu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...