SAPP & STAR Perlu Muhasabah Politik, Sertai PR Sabah.

Datuk Dr.Jeffry Kitingan, selepas Tan Sri Pairin, beliau inilah tokoh yang paling berpengaruh dikalangan KDM.
Datuk Yong Teck Lee, Timbalan Ketua Menteri pada era kerajaan PBS, pernah menjadi KM pada era sistem penggiliran jawatan KM BN Sabah. Kini memilih menjadi pembangkang.

'Ramalanku benar belaka'. Seperti sebuah tajuk lagu, ramalan kita mengenai kehadiran STAR dan SAPP dalam kancah PRU13 negeri Sabah, menjadi kenyataan. Kehadiran kedua-dua parti ini tidak mendapat sokongan rakyat Sabah tetapi sebaliknya telah 'membantu' kemenangan calon BN dibeberapa kawasan DUN dan Parlimen apabila mengakibatkan perpecahan undi untuk pasukan pembangkang.Perancangan untuk menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon BN dengan pembangkang dalam PRU13 di Sabah,tidak dapat direalisasikan. Persaingan sesama pembangkang berlaku antara pasukan PR bersama STAR dan SAPP. Kemelut pembahagian kerusi menjadi penghalang,akibatnya pasukan pembangkang mengalami kerugian kerana bercakaran sesama sendiri untuk berhadapan dengan pihak lawan yang satu.

Malam 05 Mei 2013, menjadi saksi, SAPP dan STAR gagal menggapai angan-angan mereka untuk menubuhkan kerajaan negeri.Sekalipun Dr.Jeffry Kitingan berjaya menawan kerusi DUN Bingkor tetapi di tempat-tempat lain ramai calon STAR 'hilang deposit'. SAPP mengalami nasib yang lebih suram, gagal memenangi sebarang kerusi. Datuk Yong Teck Lee sendiri gagal dikerusi tradisi beliau DUN Likas. Kemenangan calon-calon SAPP pada PRU12 dulu ternyata hanya disumbangkan oleh dokongan BN apabila pada masa itu mereka bernaung dibawah naungan BN Sabah sebagai rakan komponen. Apabila bertanding secara bersendirian ternyata SAPP hanyalah parti kerdil dan tidak berjaya meraih sokongan rakyat hatta dikalangan pengundi Cin sendiri. 

Apa pilihan untuk SAPP dan STAR untuk terus releven pada PRU14 nanti? Kita fikir satu-satunya pilihan ialah bergabung dalam pasukan PR Sabah.Perjuangan 'autonomi' oleh SAPP dan 'agenda Borneo' oleh STAR masih ada jalan untuk diperjuangkan melalui PR Sabah. Yang penting kemenangan, tanpa kemenangan tiada apa yang boleh diusahakan. Dan untuk mencapai kemenangan, sudah tentu perlu kepada pengorbanan dan tolak ansur.Soal agihan kerusi yang menjadi punca kepada pertembungan sesama sendiri pada PRU13 ini, sekarang sudah ada ukuran untuk menentukannya. Keputusan PRU13 adalah ukuran yang paling adil untuk pembahagian kerusi.

Memandangkan pasukan PR yang sedia ada telah mengandungi lima komponen iaitu PKR,DAP,PAS,APS dan PPPS maka STAR dan SAPP perlu berlapangdada untuk menerima bilangan kerusi yang lebih sedikit kerana lebih baik sedikit daripada tidak memenangi sebarang kerusi atau daripada hanya sama-sama berputih mata menyaksikan calon-calon BN mencapai kemenangan  mudah akibat daripada persaingan sesama sendiri pasukan pembangkang. Kita berpendapat jika ada 'perdamaian'selepas ini, STAR bolehlah diberi laluan untuk berhadapan dengan calon BN dikerusi Parlimen Keningau,Ranau dan Putatan serta kerusi-kerusi DUN Pitas,Kundasang,Tambunan,Bingkor (disandang).Sook, Sugut dan Labuk. SAPP pula barangkali boleh diberi laluan di kerusi DUN Tg.Aru dan Melalap.

Dalam politik perlu ada pengorbanan. SAPP dan STAR perlulah menerima hakikat bahawa mereka masih teramat jauh untuk mencapai cita-cita menubuhkan kerajaan negeri secara bersendirian. Kejayaan kerajaan Berjaya menumbangkan kerajaan USNO, kemudian PBS menumbangkan Berjaya selepas itu, sudah berlalu. Era itu sudah berlalu, sekarang adalah era perjuangan secara berpasukan. Perlu ada kerjasama untuk membentuk satu pasukan yang besar,barulah ada harapan untuk meraih kejayaan. Apa yang berlaku pada PRU13 ini perlu sekali lagi dijadikan pengajaran. Kehadiran STAR dan SAPP telah 'menyelamatkan' calon-calon BN di Parlimen Kota Marudu, Keningau,Tenom dan Pensiangan. Begitu juga di kerusi-kerusi  DUN Kiulu, Kundasang,Paginatan, Liawan,Melalap dan Elopura. Andai perlaku pertandingan satu lawan satu di kawasan-kawasan ini kita percaya kerusi-kerusi ini akan berjaya ditawan oleh pasukan pembangkang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...