PBS Ketandusan 'winabble candidate' ?


Tindakan kepada mereka yang mensabotaj calon parti. Begitu amaran yang dilaungkan presiden PBS Tan Sri Pairin Kitingan kepada anggota-anggota parti beliau, jika didapati ada yang mensabotaj calon-calon parti dalam PRU13 lalu. (lihat Harian Ekspress 10 Mei 2013). Amaran ini dilontarkan berikut kekalahan ramai calon PBS yang mewakili BN pada PRU kali ini. Kekalahan salah seorang timbalan presiden di DUN Api Api, kekalahan Ketua Pemuda di DUN Tamparuli dan kekalahan dikerusi tradisi dan kubu kuat PBS iaitu DUN Mantunggong, saya percaya telah memberi satu tamparan hebat kepada PBS. Selain itu PBS juga tewas di Kedamaian, Inanam dan gagal mendapatkan semua kerusi Sri Tanjung. Hanya kemenangan di DUN Tandek, DUN Labuk dan DUN Melalap serta Parlimen Tawau dan Parlimen Batu Sapi, boleh dianggap sebagai melegakan. 

Kemenangan Dr.Maximus di Parlimen Kota Marudu dan kemenangan calon baru Datuk Joniston Bangkuai di Kiulu adalah tipis dan disumbangkan oleh perpecahan undi dikalangan pembangkang. Jika pertandingan dua penjuru, pasti kedua-dua kerusi ini juga kecundang. Kemenangan Tan Sri Pairin di DUN Tambunan dan Parlimen Keningau juga kurang melegakan. Seandainya berlaku pertandingan dua penguru di parlimen Keningau antara beliau dengan adik beliau Dr.Jeffry di Parlimen Keningau,besar kemungkinan kerusi parlimen akan dimenangi Dr.Jeffry sebagaimana yang berlaku pada kerusi DUN Bingkor.

Sebelum meneruskan, saya selaku 'anak kecil' dalam keluarga KDM memohon izin untuk melontarkan kritikan saya kepada PBS dan kempimpinan parti ini, parti yang bertunjangkan sokongan KDM, parti yang sewaktu masa dahulu pernah gah dan megah dipersada politik Sabah, parti yang pernah menerajui tampuk pemerintahan kerajaan negeri sabah selama 9 tahun (1985-1994). Tan Sri Pairin mempunyai kuasa untuk melakukan apa saja tindakan mengikut peraturan dalam perlembagaan parti kepada invidu anggota parti yang didapati mensabotaj calon-calon parti yang sehingga membawa kepada kekalahan kepada calon-calon tertentu. Tetapi dalam masa yang sama TS Pairin dan kepimpinan PBS perlu mengakui betapa PBS sedang mengalami kemerosotan sokongan rakyat khasnya KDM. Jika tidak disebabkan calon-calon PBS bertanding dibawah naungan lambang dacing,saya percaya kemungkinan besar PBS akan mengalami nasib yang hampir serupa dengan calon-calon SAPP.

Mengapakah berlaku kemerosotan kepada PBS? Sama ada suka atau tidak, PBS perlu mengakui bahawa mereka gagal 'meremajakan' parti.Gagal menarik genarasi muda untuk bersama-sama dengan parti.  PBS menghampiri suatu zaman bagi parti ini untuk menjadi seperti 'dinasour',beransur-ansur pupus disebabkan peredaran zaman. Kalau kita lihat kedalam organisasi parti, kita tidak melihat suntikan tenaga muda. Selain ketua pemuda Datuk Jahim Jahim yang diberi peluang bertanding di Tamparuli, siapakah lagi wakil sayap pemudi yang pernah diberi kepercayaan oleh pimpinan parti untuk ditampilkan sebagai calon dalam pilihanraya? PBS perlu belajar dengan UPKO yang kelihatan lebih dinamik dalam membawa kepimpinan muda dalam parti. Lihat YB Masiung Bana, Datuk Donal Mojuntin, YB Datuk Madius, YB Limus Jury dan ramai lagi. Mereka ini adalah tenaga muda yang bukan saja dipikat untuk mengundi atau menyokong calon-calon parti tetapi mereka juga dibawa dan diberi ruang untuk menganggotai kepimpinan parti. Adakah usaha dan dinamika seperti ini berlaku dalam PBS?

PBS juga perlu menyusun dan memperkasakan jentera dan arganisasi parti diperingkat bahagian dan cawangan. Selepas kejatuhan kerajaan PBS pada tahun 1994 dulu, keadaan PBS agak 'berterabuh' atau kucar kacir. Selain tidak tersedia pemimpin pelapis untuk mengambilalih kepimpinan parti apabila pemimpin senior meninggalkan parti, organisasi parti juga tidak dipulihkan dengan cepat sehingga PBS kelihatan hanya tinggal pada nama saja. PBSbernasib baik kerana mempunyai penyokong tegar yang ramai, jika tidak barangkali PBS hanya tinggal nama saja lagi. Sampai hari ini banyak bahagian PBS yang tidak bermaya, tidak dapat menampilkan kepada rakyat dikawasan masing-masing bahawa parti ini masih kuat dan releven. Maaflah kalau saya katakan disesetengah tempat kita hanya kenal dan tahu 'ketua bahagian' saja, kita tidak tahu siapa jentera bahagiannya. Keadaan ini tidak baik untuk survival parti. Jika PBS mahu terus wujud dan terus releven, PBS perlu segara bangkit menyusun langkah, membuat pembaharuan,menyusun segala jentera pada semua bahagian,menarik tenaga muda kedalam parti,memberi ruangan kepada potensi baru untuk meneruskan kepimpinan parti.

TS Pairin telah mengumumkan bahawa ini adalah PRU yang terakhir untuk beliau. Ketiadaan beliau dalam parti nanti merupakan satu lagi cabaran besar kepada PBS kerana sehingga hari ini kita tidak melihat pemimpin pelapis yang kalau tidak pun dapat menandingi karisma TS Pairin tetapi sekurnag-kurangnya ada sedikit kelebihan berbanding yang lain. Ramai yang melihat Dr.Maximus sebagai calon yang berkeupayaan untuk menggantikan TSPairin tetapi kenyataan beliau beberapa hari yang lalu bahawa PRU13 ini adalah penggal yang terakhir untuk belaiau (lihat Daily Express 07 Mei 2013 ) memunginkan bahawa Dr Maximus juga tidak akan menerajui PBS selepas TS Pairin. Jadi siapakah yang bakal mengemudi PBS? Adalah Datuk Almudin, atau Datuk Raden Malleh ? Atau adakah Datuk Johnny Mositun? Banyak calon dalam organisasi kepimpinan PBS yang sedia ada tetapi persoalan utama tetap berkisar kepada soal pengaruh dan kredbiliti untuk memimpin sebuah parti yang berjenama besar ini.

TS Pairin perlu menamakan bakal pengganti beliau. Sekalipun barangkali beliau akan tetap menerajui parti walapun tidak lagi menjadi ADUN atau MP,api beliau tetap perlu memberi gambaran kepada anggota parti tentang calon yang bakal mengemudi PBS ketika beliau benar-benar tidak lagi mahu bersara dalam politik. Langkah ini penting bagi mengelakkan 'perebutan' dalam parti yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan kredibiliti parti dimata rakyat. Dr.Maximus masih boleh menerajui PBS sekalipun nanti juga tidak lagi bergelar wakil rakyat tetapi tetap juga memerlukan 'pengesahan' daripada TS Pairin  supaya tidak timbul keresahan kepada penyokong parti. Apapun yang mahu diperkatakan, keputusan PRU13 ini perlulah dapat menyedarkan PBS akan realiti seenar yang sedang dialami oleh parti ini. Kekalahan ramai calon PBS menandakan PBS makin hilang populariti dan gagal menampilkan 'winabble candidate'. PBS perlu mencari dan membawa lebih ramai 'winabble candidate' kedalam parti bagi mempastikan mereka dapat menebus kekalahan kali ini pada PRU14 nanti.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...