Amai Eyuh Dalam Kenangan...

Aku memanggilnya bapa, meskipun beliau bukan ayah kandungku. Tetapi oleh kerana pada waktu kecilku, aku sering saja mengalami masalah kesihatan maka kedua ibubapaku memperakukan aku sebagai 'anak' kepada pakcikku ini. Dalam kepercayaan masyarakat Tatana, anak-anak yang sering demam atau mengalami masalah kesihatan yang berlarutan, perlu diberikan kepada orang lain atau  dalam istilah suku ini disebut 'dipalid'.Namun begitu ianya tidaklah bermakna bahawa seseorang anak itu perlu tinggal bersama keluarga dimana seseorang anak itu diberi. Ianya hanya pada lafaz perkataan saja tetapi sehingga anak itu membesar maka dia perlu memanggil keluarga yang 'mengambil'nya, sebagai bapa dan emak. Begitulah aku dengan pakcik Eyuh, aku panggilnya 'bapa' dan isterinya aku panggil 'mama' atau emak, walapun sebenarnya mereka ini hanya merupakan bapa saudaraku.

12 Mei 2012, pakcik Eyuh telah pergi buat selamanya. Pemergiannya sungguh mengejutkan kerana pada perkiraanku usianya masih begitu awal untuk pergi. Usianya 65 tahun tetapi tubuhnya sedikit pun tidak kelihatan uzur.Aku tidak pernah mendengar dia menghidapi sebarang penyakit yang serius. Dia seorang yang periang, baik hati dan disenangi orang kampung. Sikapnya yang suka menolong dan sentiasa ramah mesra menjadikannya seorang yang amat dihargai oleh penduduk kampung. Bagiku kehilangannya sungguh terasa dan kami semua pasti akan sentiasa merindui gelak jenakanya. Beliau seorang yang rajin berusaha. Beliau juga merupakan salah seorang yang mengasaskan pembukaan kampung Tanggulian. Daripada kawasan hutan belantara kini kampung ini telah menjadi kampung yang cantik dan dipenuhi kebun buah-buahan, getah dan kelapa sawit.

Kini setelah kampung Tanggulian bertambah maju dan makmur, kampung ini telah kehilangan Amai Eyuh, salah seorang peneroka terawal pembukaan Tanggulian. Amai Eyuh datang ke sini pada awal tahun 1970an setelah meninggalkan kampung Kalimbata.Kini semuanya tinggal kenangan.Terima kasih kepada Amai Eyuh, atas kasih sayang dan jasa kepadaku. Namamu dalam kenangan, budimu dalam ingatan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...