Pemimpin Dari Kuala Penyu


Penulis bersama Datuk John OT Ghanie, mantan ADUN Kuala Penyu.

Saya mula mendengar nama beliau ketika pilihanraya negeri Sabah tahun 1981. Waktu itu bapa saya aktif menyokong parti USNO. Saya mendengar namanya dipilih menjadi calon USNO bagi kerusi DUN Kuala Penyu. Saya tidak pernah lagi berjumpa dengannya waktu itu, hanya saya melihat posternya sebagai calon USNO ditampal oleh bapa di dinding rumah kami. Malangnya beliau tidak berjaya dipilih menjadi wakil rakyat kerana tewas kepada calon BERJAYA waktu itu. Tetapi kata orang, setiap keikhlasan dalam perjuangan akan sentiasa dihargai dan dinilai oleh rakyat. Pada pilihanraya negeri Sabah 1985, beliau akhirnya berjaya dipilih menjadi wakil rakyat Kuala Penyu setelah menewaskan Nurnikman Abdullah (sekarang Datuk) dari parti BERJAYA dan Wences Angang (sekarang Datuk)  dari PBS. Walaupun dalam pilihanraya negeri yang diadakan pada tahun 1986, beliau kemudiannya tewas tetapi nama beliau terus menjadi sebutan.

Begitulah sejaran perjuangan Datuk John OT Ghanie, mantan ADUN Kuala Penyu. Selepas 18 tahun kekalahan beliau pada pilhanraya negeri 1986, beliau terpilih semula menjadi wakil rakyat Kuala Penyu pada PRU 11 tahun 2004, menewaskan Datuk Wences Angang, orang yang sama menewaskan beliau pada tahun 1986 dulu. Beliau terpilih menjadi wakil rakyat atas tiket Bebas. Tidak ramai pemimpin yang ada kekuatan untuk memenangani pilihanraya atas tiket individu iaitu sebagai calon Bebas. Tetapi inilah Datuk John, seorang yang ada karisme tersendiri, pemimpin rakyat yang begitu disenangi oleh rakyat Kuala Penyu. Sebelum ini pun beliau pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) semasa beliau berada dalam parti UMNO. PRU12 2008, beliau tewas sekali lagi di DUN Kuala Penyu, kali ini ditangan John Teo calon BN dari parti UPKO dengan majoriti tipis. Sekalipun demikian, Datuk John terus berkhidmat kepada rakyat Kuala Penyu, saban hari masa beliau banyak dihabiskan berada ditengah-tengah rakyat, membantu dan mendengar kesusahan dan masalah rakyat, sekalipun beliau tidak lagi menjadi wakil rakyat.

Baru-baru ini saya berkesempatan bertemu dan berbual mesra dengan beliau sewaktu berada dirumah mendiang pakcik saya,  Amai Eyuh di kampung Tunggulian. Atas tanggungjawab sebagai pemimpin dan jiran sekampung, dua hari beliau berkunjung ke rumah mendiang pakcik saya itu, memberi sokongan moral dan material kepada kepada keluarga mendiang Amai Eyuh. Pada saya, inilah satu contoh pemimpin yang diperlukan oleh rakyat, sentiasa dekat dan mudah dijumpai. Sewaktu saya mengajukan pandangan dengan mengatakan bahawa beliaulah calon yang paling sesuai untuk DUN K.Penyu pada PRU13 nanti, beliau dengan penuh rendah diri menyatakan bahawa semua itu adalah kuasa pucuk pimpinan parti. Saya percaya sebahagian besar rakyat Kuapa Penyu sama seperti saya, menaruh harapan agar sekali lagi pemimpin rakyat ini dipilih menjadi wakil rakyat Kuala Penyu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...