Mengunjungi Tamu Kinarut.

Lebih 20 tahun bermastautin di K.Kinabalu,baru hari ini saya tergerak hati mengunjungi tamu pekan Kinarut ini. Sebenarnya saya tidak tahu pun adanya tamu di Kinarut ini, sehinggalah sahabat saya Haji Nasaruddin memberitahunya pada saya tahun lalu, ekoran daripada cerita-cerita nak cari ikan 'fresh'. Seawal jam 7 pagi saya bergegas ke pekan Kinarut sejauh hanya lebihkurang pemanduan mengambil masa 15 minit. Memandangkan saya sudah lewat, saya terpaksa berjalan kaki sejuah lebihkurang 400 meter.


Menepati sejarah awal kelahiran 'tamu' di Sabah, tamu Kinarut ini menemukan pelbagai etnik dalam satu aktiviti jual beli yang muhibah. Saya mencari-cari manakah ikan 'fresh' yang diberitahu oleh sahabat saya ini. Memang ada tapi harganya agak mahal dan membantutkan selera saya untuk membeli. Mungkin bukan rezeki untuk saya. Tapi saya dapat membeli buah rambutan dengan harga RM4 sekilo.


Bercerita mengenai pekan Kinarut ini, deratan kedai lamanya menarik perhatian saya untuk mengimbau sejarah lama. Tidak banyak rasanya bangunan lama seperti ini yang kekal sehingga hari ini. Di daerah saya sendiri hanya tinggal satu deret saja lagi, itu pun sudah berada dalam keadaan yang semakin usang. Dulu semasa kecil saya saban minggu turun ke pekan untuk mendatangi 'tamu' di pekan saya. Walaupun tidak membeli apa-apa tetapi aktiviti jual-belinya menghiburkan. Tamu pekan Kinarut pagi ini membongkar nosltagia lama, tamu di pekan kelahiran saya.


Pekan Kinarut ini agak kecil dan 'terpencil' sekalipun terletak dipinggir bandaraya KK. Saya cadangkan agar Kinarut dinaiktaraf menjadi daerah kecil. Ketika ini ianya terletak dalam pentadbiran daerah Papar tetapi pekan Papar sendiri terletak agak jauh dari Kinarut, jadi eloklah kalau Kinarut ada pusat pentadbiran sendiri. Juga dicadangkan agar Kinarut dijadikan satu kawasan DUN atau sekurang-kurangnya nama DUN Kawang ditukar kepada DUN Kinarut. Kenapa? Sebab saya berpendapat pekan Kinarut lebih dikenali berbanding Kawang. Datanglah ke Kinarut. Naik keretapi pun boleh.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...