Selamat Hari Guru & Hari Ibu.

Saya kumpulkan dua ucapan ini dalam satu posting kerana kedua-dua insan ini amat berjasa dalam hidup saya. Buat seorang guru yang menyelamatkan masa depan saya, kebetulan beliau semasa kecil saya, adalah jiran sekampung saya. Kami memanggilnya Cikgu Dabi, seorang guru yang amat dedikasi dan selalu mengadakan kelas tambahan untuk kami. Saya sempat menumpang secara percuma Datsun Pickup beliau, semasa balik petang daripada kelas tambahan yang beliau adakan di sekolah.

Mengapa beliau ini amat istimewa jasanya? Saya sebenarnya seorang murid yang malas ke sekolah meskipun saya tergolong sebagai murid yang agak pandai. Pada suatu ketika saya hampir berhenti sekolah kerana bapa dan ibu saya sudah putus-asah untuk menyuruh saya ke sekolah. Suatu petang Cikgu Dabi telah datang kerumah saya untuk memujuk saya supaya kembali ke sekolah. Kedatangan beliau ini memang begitu ikhlas kerana sebelum ini beliau tidak pernah berkunjung kerumah saya. Tetapi hari itu beliau telah muncul dengan motokar warna biru muda beliau.

Dengan pujukan beliau, saya kembali datang ke sekolah, tepat pada hari pertama peperiksaan pertengahan tahun sekolah. 'Surprise', walaupun demikian, saya mendapat tempat ketiga dalam peperiksaan itu daripada hampir 30 orang murid dalam kelas. Selepas hampir dua bulan tidak datang ke sekolah tetapi saya masih boleh mendapat tempat ketiga dalam darjah di sekolah saya. Bermula dari hari itu saya meneruskan persekolahan saya. Hari ini saya sudah lama tidak berjumpa dengan Cikgu saya ini tetapi saya rakamkan dalam diari hidup saya bahawa beliau adalah salah seorang individu berjasa dalam hidup saya.

Selamat hari ibu. Ibu saya tidak berpernah bersekolah. Menurut ceritanya, pada zaman kanak-kanak beliau, beliau pernah bercita-cita untuk belajar di sekolah tetapi paradigma ibubapa pada zaman itu telah menafikan sama sekali keinginan beliau. Tetapi ketika beliau telah mempunyai kami sebagai anak-anaknya, ibu saya mahu menebus kekeciwaan beliau yang 'kempunan' untuk bersekolah. Saya masih ingat, suatu pagi ibu membawa saya ke sekolah untuk berjumpa Guru Besar. Itulah kali pertama saya mengenal sekolah. Ibu memberitahu bahawa minggu yang berikutnya saya akan mula bersekolah. Saya tidak merasakan apa-apa kerana waktu itu saya tidak tahu apa itu sekolah dan kenapa saya mesti bersekolah.

Hari yang ditentukan, ibu menghantar saya ke sekolah berbekal sebuah buku latihan dan sebatang pensil yang disimpan dalam sebuah beg plastik 'ajinomoto'. Disebabkan kemiskinan dalam keluarga, saya tidak memakai uniform sekolah pada pertama persekolahan saya melainkan saya memakai celana pendek 'adidas' dan t'shirt warna kuning. Itulah hari pertama yang bersejarah dalam hidup saya. Berkat kesedaran ibu, saya berjaya melangkah masuk kedalam bilik darjah senagai murid sekolah. Saya mula belajar menulis dan huruf pertama yang saya belajar tulis ialah huruf 'S' yang saya tulis seperti angka 5.

Selepas 30 tahun, semua itu telah menjadi nostalgia dalam hidup saya. Kalau ada kesempatan, saya akan bertemu dengan cikgu saya dan ibu saya, hari ini beliau ada bersama saya untuk meneruskan sisa-sisa usianya dengan tenang dan tidak perlu lagi bersusah-susah seperti sewaktu membesar saya dulu. Untuk guru saya, Selamat Hari Guru. Untuk ibu, saya tidak pernah menzahirkan ucapan itu dari mulut saya tetapi dalam hati, penghargaan itu akan tetap abadi sepanjang hayat saya

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...