Mengimbau Zaman Silam Bangsaku...

Sekarang ini sedang berlangsung pameran gambar-gambar lama yang diambil sekitar negeri Sabah pada awal tahun 1900an, di Muzium Sabah, Kota Kinabalu. Gambar-gambar lama yang diambil sekitar negeri Sabah kira-kira 100 tahun yang lalu itu menarik perhatian saya kerana
pameran seperti ini bukan saja merupakan sesuatu yang mampu mengembalikan memori silam yang menghadirkan banyak nostalgia masa lalu tetapi lebih daripada itu, gambar-gambar lama seperti ini juga membantu membawa genarasi muda masakini melihat, memahami dan meng- hargai sejarah silam bangsa mereka. Bangsa yang maju tidak harus melupakan asal-usul mereka kerana jika ini terjadi, bangsa itu akan hilang jatidiri. Akibatnya, kemajuan itu tidak akan dapat membina tamadun hidup yang sempurna. Boleh juga dikatakab bahawa bangsa yang tidak kenal asal-usul dan sejarah kelahiran bangsanya, umpama bahtera yang tiada pelabuhan sendiri.

Dikalangan puluhan gambar yang dipamerkan, saya tertarik dengan tiga keping gambar lama yang dikaitkan dengan daerah Kuala Penyu, daerah kelahiran saya yang terletak kira-kira 124KM dari bandaraya K.Kinabalu. Sekeping gambar yang memaparkan sekumpulan penduduk yang dikatakan Bundu Dusun yang dirakam sekirat tahun 1900an, sangat menggamit perhatian saya. Saya percaya yang dimaksudkan dengan Bundu Dusun ini ialah orang-orang Dusun Bundu, merujuk kepada nama satu kampung di Kuala Penyu. Tidak diketahui dimanakah lokasi sebenar gambar itu diambil, tetapi saya percaya inilah gambar tertua yang pernah saya lihat berkenaan orang Dusun Bundu ini. Siapakah orang Dusun Bundu ini ? Saya percaya mereka ini adalah etnik yang dikenali sebagai orang Tatana Kuala Penyu. Mungkinkah ketika itu nama Tatana belum popular digunapakai ? Tidak hairan juga kerana sekarang ini pun orang Tatana dalam keterangan sijil lahir mereka, menulis 'Kadazan' sebagai kaum mereka.

Menurut cerita, salah satu daripada masyarakat peribumi Kuala Penyu ini menggelar diri mereka 'Tatana' ekoran daripada insiden masa silam mereka. Oleh kerana Kuala Penyu terletak di pesisir pantai maka kononnya waktu itu 'masyarakat' ini menghadapi serangan lanun atau penjahat secara bermusim. Saya membuat teori bahawa lanun atau penjahat itu datang menyerang dari laut dan mereka belayar sampai, mengikut tiupan angin monsun. Keadaan ini menyebabkan orang Tatana boleh mengagak waktu kehadiran musuh-musuh ini dan bagi menghadapinya mereka membina kubu bawah tanah untuk bersembunyi. Bermula daripada waktu itu maka orang-orang Tatana mendapat gelaran 'Tatana' mungkin bermaksud orang dalam tanah.

Selain gambar sekumpulan Bundu Dusun ini, adalah dua lagi gambar berkenaan Kuala Penyu. Satu gambar rumah lama dan satu gambar petani sedang membajak sawah. Saya percaya gambar rumah itu juga adalah milik Dusun Bundu kerana darisegi bentuknya, itu adalah bentuk rumah orang Tatana tradisional. Gambar membajak itu juga adalah kemungkinannya orang Tatana kerana bentuk peralatan tradisional itu sama dengan yang diguna oleh orang Tatana. Sebenarnya bentuk rumah dan alat membajak sawah itu, saya sempat menyaksikannya sebenar secara langsung. sekitar tahun 1970an masih banyak orang Tatana di Kuala Penyu yang rumah mereka seperti dalam gambar itu. Sekitar tahun 1973 ketika keluarga saya membuka tanah di Kampung Batu Linting, saya sempat membesar dalam rumah bentuk itu. Saya juga sempat ikut membajak sawah dengan alat pembajakan tradisional itu yang ditarik menggunakan tenaga kerbau.

Siapakah agakanya orang yang ada dalam gambar itu? Mungkinkah mereka adalah nenek moyang saya sendiri ? Tidak tahulah siapa, tetapi saya teruja dengan penemuan gambar-gambar lama ini. Mereka ialah genarasi yang hidup 150 tahun lebih awal daripada saya ? Saya percaya mereka juga berutur bahasa yang sama dengan bahasa yang saya guna hari ini tetapi barangkali hanya cara berfikir mereka saja yang berbeza. Salah seorang nenek saya dilahirkan pada tahun 1924, bermakna kalau dilihat pada tarikh gambar itu (sekitar 1900an), nenek saya mungkin sempat bertemu dengan salah seorang daripada yang ada dalam gambar itu. Tetapi sayang, nenek saya sudah lama tiada, jadi sejarah orang-orang dalam gambar itu telah hilang begitu saja.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...