Salam Takziah Untuk Keluarga Cikgu Suffian (KP)...

Sewaktu membelek-belek Daily Express sebentar tadi, barulah saya mengetahui bahawa rupa-rupanya cikgu Suffian telah kembali kerahmatullah 04 Januari 2010 yang lalu. Saya tidak pernah berurusan apa-apa dengan arwah ini malah saya percaya arwah tidak pernah mengenali saya tetapi saya cukup mengenali arwah ini kerana semasa kecil-kecil dulu saya kerap bersua dengan arwah di pekan Kuala Penyu. Tambahan pula isteri arwah pernah mengajar di sekolah saya kira-kira 25 tahun dulu. Anak lelaki arwah Cikgu Suffian (Cikgu Harris) juga adalah senior saya sewaktu di SMK Kuala Penyu dulu (tahun 80an). Sewaktu saya masih bertugas sebagai guru, saya kerap juga bersua dengan Cikgu Harris di KK. Jadi keluarga cikgu Suffian tidaklah asing untuk saya.

Saya rasa sedih dengan pemergian arwah. Semoga Allah swt mencucuri rahmat keatas roh allahyarham. Kesedihan saya bukan saja kerana saya mengenali arwah tetapi arwah ini juga seusia dengan guru-guru saya sewaktu sekolah rendah dulu. Bermakna, rupa-rupanya mereka-mereka yang pernah berjasa dalam hidup saya, kini sudah semakin berumur dan ada antara mereka sudah kembali kepada Illahi. Bermakna, sekali sekala bila saya kembali ke kampung, saya tidak lagi dapat bertemu dengan mereka. Sebenarnya jika diberikan usia yang panjang, saya bercita-cita untuk kembali menatap di kampung yang kini telah hampir 20 tahun saya tinggalkan. Jika keinginan saya ini ditunaikan Allah, bermakna akan ramai orang-orang yang sewaktu saya meninggalkan kampung dulu masih ada, akan tidak dapat lagi saya temui. Mungkinkah saya akan hidup sebagai 'orang baru' dalam satu koloni masyarakat yang baru yang berbeza dengan apa yang saya tinggalkan dulu? Mungkinkah ini adalah satu suratan hidup yang penuh rahsia dalam hayat kita.

Kepada keluarga cikgu Suffian, saya ucapkan takziah. Semoga tabah menghadapi suratan Illahi ini. Semoga roh allahyarham ditempatkan dikalangan roh orang-orang yang soleh dan beriman.amin..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...