Diari Kehidupan (I)

Atas kapasiti saya sebagai YDP PIBG SK.Penampang, semalam saya turun meninjau aktiviti perkhemahan kokurikulum sekolah, yang melibatkan seramai 119 orang murid tahap 2 sekolah berkenaan. Selain sebagai menunjukkan sokongan moral kepada aktiviti murni sekolah berkenaan, saya sengaja untuk mengambil peluang itu bersantai bersama guru-guru yang kebanyakkannya berjaga malam demi menjaga keselamatan murid-murid yang tidur bermalam dalam khemah dalam kawasan sekolah. Malam kedua berturut-turut saya berada di kawsan sekolah sehingga subuh.

Saya berborak dengan seorang guru tentang peranan pelajar untuk mengubah nasib dan masa depan sesuatu genarasi. Pelajaran adalah instrument utama dalam usaha membebaskan satu-satu keluarga daripada belenggu kemiskinan. Guru ini melahirkan rasa sedihnya tentang sikap segelintir ibubapa yang tidak prihatin kepada perkembangan pelajaran anak-anak meskipun pelajaran anak itulah yang sebenarnya akan membela nasib keluarganya. Satu persoalan yang cukup rumit untuk dijelaskan. Bagaimanakah seorang bapa atau ibu yang tidak mempunyai latar pendidikan yang mencukupi mampu utuk berpandangan jauh dengan meletakkan perhatian penuh kepada nasib pelajaran anaknya? sebelum saya sempat berhujah berkenaan persoalan ini, seorang guru lain muncul memutuskan diskusi kami. Topik cerita bertukar tajuk.

Saya biarkan guru itu meneruskan perbualannya dengan rakannya yang baru sampai. Guru wanita, biasalah. Topiknya sudah tentu berkaitan soal keluarga,anak-anak dan benda-benda yang sewaktu dengannya.Saya mengambil pendekatan untuk berdiam diri saja. Tiba-tiba saya teringat peristiwa kira-kira 32 tahun dulu. Sewaktu itu saya adalah seorang kanak-kanak yang nakal, kerana itu rotan ibu memang selalu sangat hinggap dibetis saya. Rasanya sungguh perit tetapi rotan itulah juga yang membentuk saya membesar menjadi kemanusia. Suatu hari ketika makan tengahari saya bergaduh dengan adik lelaki saya. Ibu, saya lihat begitu marah sekali, apa tidaknya kerana kami berkelahi betul-betul dihadapan hidangan makan tengahri hari. Bapa hanya menjeling tajam. Saya tahu bapa juga marah tetapi bapa jarang merotan kerana biasanya ibulah saja yang melaksanakan hukuman itu. Bukannya bapa tidak sanggup merotan kami tetapi konon cerita jika bapa merotan, kami boleh jadi demam. Konon cerita juga, ketika saya masih kecil sangat (saya tidak ingat), bapa pernah merotan saya dan selepas itu saya demam panas selama seminggu. Lepas daripada itu bapa tidak pernah lagi merotan kami, melainkan ibulah yang melakukannya.

Berbalik cerita tadi. Ibu tidak terus merotan kami melainkan dia hanya memberi amaran bahawa 'bagian' akan diberikan selepas makan nanti. Saya fahamlah akan maksud ibu itu. Kerana itu dalam diam saya sendiri sudah ada strategi untuk menyelamatkan diri. Perhitungan saya, jika hati ibu sudah sejuk, dia tidak akan jadi merotan kami. Saya makan dengan tergesa-gesa. Selepas selesai, saya pura-pura ke dapur untuk membasuh mulut dan tangan. sebenarnya dari pintu dapur saya meloloskan diri ke rumah nenek yang terletak di sebelah bukit. Maka terselamatalah saya daripada rotan ibu. Menjelang hampir senja saya masih 'berkubu' di rumah nenek.

Bagaimanapun tidak lama selepas itu, ketenangan saya tidak berpanjangan. Ibu tiba-tiba muncul. Saya tidak mampu untuk melarikan diri lagi. Saya hanya terdaya melompat masuk ke bawah kulung. Ibu segara memanggil saya supaya keluar atau dia akan mengejar saya dan merotan dengan teruk. Dengan rasa ketakutan saya keluar menemui ibu. Tapi kali ini ibu tidak melibas rotannya seperti selalu. Saya rasa lega. Ibu segara naik menemui nenek dan saya nampak mereka berbual serius. Ibu dan nenek, saya dengar menyebut perkataan 'sekolah', satu perkataan yang asing bagi saya, walaupn usia saya pada ketika itu sudah 7 tahun.

Rupa-rupa ibu dan nenek berbincang untuk mendaftarkan saya ke sekolah yang jaraknya lebih kurang hampir sejam berjalan kaki. Maka pada tahun berikutnya bermulalah era persekolahan saya. Lantaran kemiskinan keluarga, bapa tidak dapat menyediakan sepasang uniform sekolah yang lengkap kepada saya. Hari pertama persekolahan, saya datang ke sekolah dengan memakai t'shirt biasa warga kuning dengan celana pendek adidas warna coklat. Pakaian ini bukan untuk ke sekolah tetapi saya tetap diterima memulakan hari pertama sekolah saya. Saya hanya membawa sebuah buku tulis dan sebatang pensil yang disimpan dengan beg plastik 'ajinomoto'.

Itulah sejarah permulaaan zaman persekolahan saya. Saya melangkah masuk ke dalam bilik darjah dengan diperhatikan kawan-kawan yang asing bagi saya. Mengapa saya diperhatikan? Sebab seragam yang saya pakai, lain daripada mereka. Duduklah saya disuatu sudut dan belajar menulis huruf-huruf yang asing bagi saya. Hurus pertama yang saya tulis ialah 'S' tetapi saya menulisnya seperti bentuk angka '5'. Bermula hari itu saya meneruskan hari-hari persekolah saya dengan tabah. Saya bangun seawal jam 5 pagi supaya boleh datang awal ke sekolah. Saya tidak suka kalau terlambat sampai ke sekolah. Oleh itu saya adalah antara murid yang paling awal berada di sekolah pada setiap hari. Sekolah berakhir jam 1.30 dan saya hanya akan sampai di rumah pada jam 2.30pm

Begitu permulaan kisah perjuangan hidup saya. Saya melangkah ke sekolah atas kesedaran ibu yang bertekad untuk melihat saya menjadi orang berguna. Walaupu ibu tidak pernah menjejakkan kaki ke sekolah dan dia langsung tidak mengenali sebutir huruf sekalipun tetapi dia mempunyai pandangan yang jauh untuk menyediakan masa depan yang sempurna untuk anak-anaknya. Setiap kali peperiksaan, ibu hanya mampu melihat warna tulisan dalam buku rekod saya, kalau warna biru semua, wajah ibu kelihatan cukup gembira. Daripada darjah 1 hingga darjah 6, saya jarang membawa wang kesekolah, hanya sekali sekala ibu mampu membekalkan saya dengan duit syiling 20 sen. Tetapi ibu akan sentiada pastikan bahawa setiap hari saya mesti ke sekolah. Jika sehari saya ponteng tanpa sebab, sehari itu juga ibu memarahi dan menasihati saya. Kini, ibu sudah tua. saya menjaga ibu dengan baik. Pedih rotan ibu 32 tahun dulu telah menghantar saya menjadi seorang manusia.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...