Poligami: Madu ,Racun Atau Ego Seorang Lelaki ?

Keluarga bahagia (Gambar hiasan sahaja)

Pagi tadi semalam dalam perjalanan memandu ke pejabat, seronok mendengar perbincangan dalam siaran sebuah saluran radio negara kita. Topik perbualan berkisar tentang poligami. Biasalah, topik sebegini sememangnya mengundang minat ramai pendengar. Maka sibuklah juruhebahnya melayan panggilan yang bertalu-talu daripada para pendengar yang teruja untuk menyatakan pendapat dan pandangan masing-masing. Bermacam-macam hujah diutarakan. Menarik sekali, sehingga saya tidak terasa tekanan memandu mengharungi kesesakan lalulintas waktu pagi.

Bagi pendengar wanita, sudah tentulah dapat kita agak apakah hujah mereka manakala bagi pendengar lelaki, ramai yang mengutarakan pendapat yang kalau pun tidak menyokong seratus-peratus poligami tetapi sekurang-kurangnya menyatakan dalil dan alasan mengapa orang lelaki Islam dibenarkan menikah sehingga empat. Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan hujah dua orang pemanggil, seoran lelaki dan seorang wanita. Biarlah saya namakan pemanggil itu A dan B.

Pemanggil A seorang lelaki yang mempunyai 'title' Dr. Saya tidak pasti sama ada Dr. PHD atau Dr. perubatan, tetapi daripada isi hujahnya, mungkin penaggil A ini seorang Dr. perubatan. Pemanggil A, kalau tidak silap saya memetik satu fakta yang menurutnya daripada WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia), yang menyatakan bahawa ibu-ibu yang melahirkan anak pertama pada lingkungan usia 16 hingga 25 tahun amat berpotensi melahirkan anak-anak yang cerdik, pintar dan berkualiti. Menurut beliau dalam sudut biologi, lelaki akan menghasilkan benih dua kali setiap seminggu manakala benih wanita pula dilahirkan bersama-sama dengan kelahiran mereka. Jadi kata beliau jika seorang wanita berkahwin dan melahirkan anak pada usia 40 tahun, bermakna anak yang dilahirkan itu adalah daripada benih yang telah tua iaitu berusia 40 tahun. Beliau melontar beberapa andaian kemungkinan kepada para pendengar tentang risiko ataupun akibat daripada kelahiran benih yang sudah terlalu tua ini.

Hari ini, kita dapati sebahagian besar daripada wanita kita berkahwin pada usia 26 tahun keatas terutamanya mereka yang berpendidikan tinggi. Jadi nampaknya gayanya ramailah yang terlepas peluang untuk melahirkan anak pada usia yang dikatakan paling berpotensi untuk melahirkan anak-anak yang cergas, cerdik dan berkualiti itu ? Tetapi yang paling menarik daripada pemanggil A ini ialah beliau mengutarakan tentang tujuan sebenar sebuah perkahwinan. Menurutnya sebuah perkahwinan bukanlah tujuan utamanya untuk melampiaskan saluran nafsu seks atau untuk meletakkan perasaan cinta kepada pasangan, sebaliknya perkahwinan itu tujuannya adalah untuk melahirkan zuriat, bagi menjadi khalifah dimuka bumi ini. Bagi kita, memang agak logik sekali hujah pemanggil A ini. Sudah tentu sepatutnya tujuan utama perkahwinan itu adalah untuk melahirkan zuriat, bagi menyambung keturunan kita dan selepas kita mati nanti zuriat itu akan mendoakan kita pula. Memang inilah tujuan sebuah perkahwinan.

Pemanggil B pula seorang wanita yang memperkenalakan dirinya sebagai berusia pada awal 40an, sedang mengidap sakit kencing manis. Menurut pemanggil B, beliau telah menawarkan suaminya untuk berkahwin lagi satu memandangkan keadaan dirinya itu. Tetapi sisuami telah menolak tawaran isterinya itu dengan alasan tidak mampu. Apa yang menarik daripada pemanggil B ini? Sudah tentu sikap seorang isteri yang benar-benar luhur, tulus dan suci hati kepada suaminya. Barangkali pemanggil B ini adalah seorang isteri yang 'satu dalam sejuta'. Padanlah dia dipasangkan dengan suami yang benar-benar bertanggungjawab. Saya fikir payah juga untuk jumpa suami yang menolak tawaran untuk berkahwin lagi satu oleh isterinya sendiri..Adakah..? Mungkin, 'jarang-jarang' kata Nujum Pak Belalang.

Sebelum saya tiba di pejabat, sempat juga mendengar seorang pemanggil terakhir yang memberikan pendapat dengan nada marah-marah, kononnya lelaki dan poligami hanya untuk menunjukkan keegoan mereka. Benarkah poligami ini adalah semata-mata satu 'ego' oleh si lalaki ? Barangkali jawapannya terlalu subjektif. Tetapi bagi lelaki, ramai yang tidak merancang untuk berpoligami, tetapi kadang-kadang ianya 'bertemu' ditengah jalan dengan tanpa dirancang atau dicari. Jadi apa yang penting ialah jika ditakdirkan berlaku sebegitu, lelaki hendaklah melaluinya dengan penuh hikmat dan tanggungjawab. Sesuatu yang perlu sentiasa diingati ialah tujuan perkahwinan itu adalah untuk melahirkan zuriat yang berkualiti, solih dan berguna.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...