Mengapa Perlu Hadkan Subjek SPM ?

Cadangan Kementerian Pelajaran untuk menghadkan bilangan matapelajaran yang boleh diambil oleh pelajar SPM kepada 10 subjek sahaja merupakan satu pendekatan yang bersifat mengundur kebelakang. Apa perlunya perubahan seperti ini ? Memberikan ruang kepada pelajar untuk ada lebih masa dalam kokurikulum? Rasanya sistem yang ada sebelum ini, tidak sedikit pun membataskan penglibatan pelajar dalam kokurikulum. Jika perubahan ini untuk menjadikan pelajar kita tidak terlalu menumpukan bidang akademik semata-mata sehingga mengabaikan bidang lain terutamanya sukan, kita fikir ada kebenarnya, tetapi tidaklah perlu kepada langkah drastik seperti ini. Sebenarnya pelajar kita masa banyak masa lapang yang terbuang hinggakan ramai yang masih punya masa untuk melepak dan berfoya-foya.

Kemudian cadangan untuk mengurangkan subjek teras kepada 4 sahaja, sekali lagi mengundang tanda tanya dan keresahan kerana keenam-enam subjek teras yang ada sekarang dilihat sebagai subjek yang penting untuk diambil oleh semua pelajar, bukan saja untuk lulus peperiksaan tetapi lebih penting, subjek-subjek ini amat mustahak sebagai bekalan setiap pelajar untuk dewasa dan hidup sebagai rakyat Malaysia yang stabil dan matang. Jika hendak dikurangkan juga subjek teras ini, subjek apakah yang akan dikorbankan ? BN, BI, PI/Moral,Sejarah ,Sains,Matematik atau Sejarah ? Kalau diagak-agak, barangkali subjek sejarahlah mungkin yang bakal dikorbankan kerana tidak mungkin subjek-subjek yang lain, apatah lagi subjek PI/Moral. Kalau memang sejarah yang dikorbankan, bermakna akan ada pelajar kita yang tidak akan mengambil sejarah dan barangkali angkanya juga akan ramai, jadi bagaimanakah bentuk genarasi muda kita nanti ? Mungkinkah bilangan yang buta sejarah akan meningkat.

Kementerian pelajaran perlu berhati-hati membuat perubahan. Jikapun hendak melakukan pembaharuan, tidak bermakna benda yang sedia ada perlu diusik. Tan Sri Muhyiddin selaku menteri Pelajaran, hendaklah terlebih dahulu membuat penyelesaian kepada isu PPSMI. Ketika mana sebahagian besar rakyat mahukan dasar ini dimansuhkan, maka kita fikir tidak perlu masa yang lama untuk mengumumkannya. PPSMI dilihat sebagai tidak menepati keperluan. Jika tujuannya untuk memperbaiki penguasaan pelajar kita dalam matematik dan sains, maka bagaimanakah mungkin perkara itu boleh berlaku kerana sedangkan dalam bahasa Melayu pun pelajar kita masih kurang menguasai subjek ini apatah lagi dalam BI, satu bahasa yang masih amat lemah untuk dikuasai oleh sebahagian besar pelajar kita terutama diluar bandar.

Kalaulah tujuannya untuk menambah nilai para lepasan universiti kita, jalannya bukan pada PPSMI tetapi jadikan subjek BI sebagai 'tumpuan'. Cara dan kaedah pengajaran BI perlu diperbaiki dan paling mustahak menambah bilangan guru-guru yang benar-benar 'mampu' dalam pengajaran subjek BI. Tidak salah mungkin kalau kita mengimport guru-guru BI dari luar negara. Buka bermakna guru-guru dalam negara tidak bagus atau tidak mampu tetapi kita perlu mengujudkan 'kelainan' kerana 'kelainan' selalu dapat memberikan momentum yang drastik.

Perkara lain yang perlu dilihat secara serius oleh kementerian pelajaran ialah masalah kekurangan guru di sekolah-sekolah di pedalaman terutama di Sabah dan Sarawak. Perkara ini sudah lama berlaku dan sekarang masih berlaku serta tidak diketahui sampai bila akan selesai. Inilah perkara-prkara asas yang perlu dilihat dan disedari oleh kementerian pelajaran terlebih dahulu sebelum melakukan tranformasi yang lebih besar.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...