Kerajaan Perpaduan, Akhirnya PAS Buat Percaturan Matang.

Akhirnya idea kerajaan perpaduan menemui penghujungnya . Mesyuarat bersama ketua parti -parti dalam pakatan pembangkang semalam, mengambil keputusan menolak gagasan idea ini. Kini semua berjalan seperti biasa, UMNO dengan BNnya dan PAS dengan PRnya. Dan beberapa hari lagi mereka akan berentap di Manik Urai untuk menilai sejauh mana pengaruh masing-masing sudah berkembang.

Apakah kesan kepada kegagalan idea kerajaan perpaduan ini? Presiden UMNO YAB Datuk Najib ketika mengulas keputusan pihak pembangkang yang menolak 'kerajaan perpaduan', menjelaskan bahawa BN tidak merasa apa-apa atas kegagalan perdamaian politik yang dirancang itu kerana menurut beliau, kerajaan yang ada sekarang masih mampu mentadbir negara dengan baik dan tiada sebarang masalah. Memang inilah hakikatnya. UMNO sebenarnya tiada keperluan untuk membentuk kerajaan perpaduan kerana kerajaan yang dibentuk melalui komponen BN masih kuat dan mempunyai majoriti yang stabil untuk terus mentadbir negara. Jadi tiada keperluan yang mendesak pada pihak UMNO dan BN untuk membentuk kerajaan perpaduan .

Bagi pihak PAS pula, idea kerajaan perpaduan ini mungkin hanyalah satu 'gertak politik' untuk menunjukkan bahawa parti ini berada dalam keadaan yang kuat dan sebarang percaturan politiknya mampu mengubah landskap politik Malaysia. Kalau kita lihat, dalam pakatan pembangkang PAS mempunyai bilangan kerusi paling sedikit, jadi ini mendedahkan PAS kepada 'pengabaian' oleh rakan-rakan yang lain iaitu PKR dan DAP. Jika berlaku keadaan seperti ini sudah tentu akan merugikan PAS kerana ianya akan menenggelamkan idealisme perjuangan PAS sendiri. Percaturan PAS dengan membangkitkan idea kerajaan perpaduan sekurang-kurangnya dapat menyedarkan rakan pakatan yang lain bahawa PAS mempunyai banyak pilihan

Jadi tidak ada sebarang kerugian kepada kedua-dua belah pihak, kesan daripada kegagalan perdamaian politik antara UMNO dan PAS atau antara BN dan PR ini. Apa yang perlu terus berlaku sekarang ialah persaingan politik yang sihat antara BN dan PR. Semua orang perlu melihat pertarungan politik ini sebagai lumrah dalam politik demokrasi. Mungkin ada yang beranggapan bahawa PAS telah tunduk kepada tekanan PKR dan DAP sebagai penyebab kepada kegagalan kerajaan perpaduan ini. Sebenarnya tidak timbul andaian seperti ini kerana sebagai sebuah parti politik yang berpengalaman, tidak mungkin PAS begitu mudah tunduk atau ditekan. Lagipun idea kerajaan perpaduan itu bukanlah idea atau pandangan parti PAS secara rasmi tetapi adalah cetusan idea pemimpinnya saja. Jadi untuk menzahirkan idea ini perlulah mendapat sokongan majlis tertinggi parti. Tidak timbul soal tekanan atau ditekan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...