Jalan-jalan Di Kuala Penyu (Siri 1)

Selamat datang ke pekan Kuala Penyu. Sebuah pekan kecil di muara sungai Setumpok, sebutir mutiara kedamaian di pesisir Laut Cina Selatan.

Masjid daerah Kuala Penyu, dibina pada tahun 1980an dan terletak disebuah anak bukit ditengah-tengah pekan.

Padang pekan Kuala Penyu. Padang ini menjadi tempat acara sukan diadakan seperti permainan bola sepak dan sukan sekolah. Sekitar tahun 1980an, padang pekan ini meriah dengan aktiviti perlawanan bola sepak. Buat masa ini Kuala Penyu belum memiliki stadium sukannya sendiri.

Bangunan rumah kedai yang baru. Dahulunya ini adalah tapak SRJK Chung Hwa sebelum sekolah jenis kebangsaan itu berpindah ke suatu tapak yang lain.


Dewan belia Kuala Penyu. Suatu ketika dulu dewan ini banyak digunakan untuk aktiviti belia di daerah Kuala Penyu. Ini adalah antara kemudahan terawal yang ada di daerah ini.
Perkhidmatan perahu penambang adalah antara pengangkutan alternatif untuk menyeberangi sungai setumpok ke pekan Kuala Penyu daripada seberang Palu Palu. Biasanya menjadi pilihan utama penduduk yang tidak perlu membawa kenderaan ke pekan. Perahu ini boleh menyeberangkan sebuah motosikal pada satu-satu perjalanan.
Inilah ferri kenderaan yang berulang-alik mengangkut kenderaan menyeberangi sungai setumpok, antara seberang Palu Palu dengan pekan Kuala Penyu. Tempoh perjalanan lebihkurang dalam 15 minit tetapi yang uniknya perkhidmatan ferri ini diberikan secara percuma. (Enda perlu bayar tambang bah.)

Kenderaan sedang beratur untuk menunggu giliran menaiki ferri. Pada masa-masa puncak maka terpaksa berbaris lama sikit untuk mendapatkan giliran menaiki ferri. Konsepnya siapa dulu beratur dialah yang naik dulu. Dalam satu-satu perjalanan ferri ini hanya boleh membawa antara 8 hingga 10 kenderaan saja bergantung kepada jenis dan saiz kenderaan.

Jalanraya baru menghubungkan Kuala Penyu dengan pekan Membakut. Jalan pintas yang menjimat masa perjalanan kepada pekan Kuala Penyu daripada Kota Kinabalu.


Jadual operasi pengangkutan ferri. Jika anda datang kebetulan operasi ferri sedang berehat maka kenalah menunggu 30 minit. Jadi tengok jadual dulu dan rancang perjalanan anda.


Salah sebuah blok kedai baru di pekan Kuala Penyu. Didirikan ditapak yang dulu kedai lama tetapi telah musnah dalam kebakaran.

Inilah satu-satu blok kedai lama yang masih bertahan. Saya kurang pasti tarikh sebenar rumah kedai ini dibina tetapi apabila saya dilahirkan kira-kira 37 tahun lalu, rumah kedai ini sudah wujud. Elok kalau Majlis daerah Kuala Penyu dapat mengusahakan agar rumah kedai ini dapat terus dipertahankan sebagai 'bangunan bersejarah' disebabkan usia kewujudan' Tidak banyak lagi kedai-kedai seperti ini yang terdapat di negeri Sabah. Jadi elok dipelihara untuk tinggalan sejarah.

Kepada anda diluar sana, datanglah berkunjung ke daerah saya ini. InsyaAllah anda akan beroleh kepuasan kerana daerah saya ini memang indah, aman dan tenteram. Di sini juga ada 'tamu' minggu yang diadakan setiap hari Selasa. Welcome to Kuala Penyu. Ada bambangan, belunu,cempedak, buah tarap dan 'macam-macam ada'. Orangnya juga bagus-bagus, peramah dan berbudi bahasa.




Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...