Perdana Menteri Rakyat, Kerajaan Rakyat......

Setelah PM sendiri menyatakan hasrat beliau untuk menjadi 'perdana menteri rakyat' maka kita berharap menteri-menteri dan wakil-wakil rakyat juga akan menyahut pendekatan yang sama supaya menjadi menteri rakyat dan wakil rakyat yang benar-benar menjadikan diri mereka wakil kepada rakyat. Hari ini memang masih ada jurang perhubungan antara rakyat biasa dengan menteri atau wakil rakyat, tetapi sedikit demi sedikit kemesraan dan hubungan yang dekat telah mula terbina. Pada masa hadapan kita mengharapkan agar protokol hubungan antara rakyat biasa dengan menteri dan wakil dapat dikurangkan sehingga kita tidak perlu lagi bersusah-susah menyediakan karpet merah dan bunga manggar untuk menyambut kedatangan menteri atau wakil rakyat.
Bagi pegawai-pegawai kerajaan, mereka juga perlu berubah menjadi 'pegawai rakyat'.Mereka juga hendaklah selalu 'keluar' daripada bilik pejabat dan bilik mesyuarat untuk turun padang meninjau dan melihat kebajikan rakyat serta meninjau tahap penyampaian projek-projek kerajaan kepada rakyat. Protokol dan birokrasi perlu diminimakan kerana yang lebih penting ialah pencapaian. Untuk mendahulukan rakyat bermakna para pegawai kerajaan, wakil rakyat dan menteri harus mengutamakan kesan kepada rakyat untuk setiap rancangan, projek dan program yang dirancang. Tidak susah untuk berjaya, yang penting ialah fokus, kesungguhan dan sentiasa mengutamakan pencapaian dan hasil yang baik. Itu saja.
Ulasan
Catat Ulasan