Konsep 'Satu Malaysia' Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.


Jika Datuk Abdullah Ahmad Badawi dikenali dengan konsep Islam Hadhari, bakal PM kita Datuk Najib Tun Razak yang akan mengangkat sumpah jawatan esok , muncul dengan konsep 'Satu Malaysia'


Satu Malaysia, merujuk kepada pelaksanaan pelbagai program secara lebih adil dan saksama terhadap semua etnik, yang diharap mampu menyatukan pelbagai kaum di negeri ini. Menurut Najib,konsep ini akan dijalankan secara teratur dan sistematik untuk memastikan agar tiada kaum yang terpinggir.


Konsep 'Satu Malaysia' akan ditunjangi oleh dua prinsip utama iaitu sikap saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan keyakinan antara satu dengan yang lain. Apabila kedua-dua sikap ini berlaku maka ianya akan melahirkan sikap terbuka dikalangan rakyat Malaysia, seterusnya ini akan membawa rakyat kepada penghayatan tentang perpaduan dan kepelbagaian.


Datuk Najib menekankan bahawa sikap yang digariskan di atas tidak akan berlaku secara mengejut, sebaliknya ianya perlu dibangunkan secara teratur dan bersungguh-sungguh.


Sememangnya konsep 'Satu Malaysia' ini sangat bagus untuk masa depan negara.
Pelaksanaan pelbagai program secara lebih adil dan saksama memang merupakan satu yang amat berharga dan disukai rakyat. Kini Datuk Najib telah membuka ruang kearah itu. Tinggal lagi apa yang penting sekarang ialah kesediaan 'jentera pelaksana' untuk memahami dan melakukannya dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Dasar yang bagus jika tidak berjaya digerakkan oleh jentera pelaksananya, bakal akan menjadi sia-sia. Jadi sekarang amat penting bagi 'jentera pelaksana' iaitu pegawai kerajaan, supaya dapat menyahut tugas dan tanggungjawab menjayakan konsep 'Satu Malaysia' ini. Perkara yang paling utama ialah menjauhi dan membenci amalan 'kronisme' dan 'korupsi'.


Bagi Sabah dan Sarawak yamg masih tertinggal jauh dalam segala aspek pembangunan, adalah diharapkan konsep 'satu Malaysia' ini akan memberi ruang yang lebih kepada negeri-negeri ini untuk diberi perhatian yang lebih, agar suatu ketika nanti kedua-dua wilayah ini akan mencapai tahap pembangunan yang sama maju dengan negeri-negeri lain di semenanjung.


Dalam usaha membasmi kemiskinan, adalah diletakkan harapan yang tinggi agar fenomena kemiskinan dapat dikurangkan secara menyeluruh dikalangan semua kaum. Dalam masa yang sama ketika mana DEB memberi tumpuan kepada pembangunan taraf ekonomi masyarakat Melayu dan bumiputera, konsep 'Satu Malaysia' pastinya juga akan melihat imej kemiskinan itu tidak lagi tertakluk kepada sesuatu kaum, dengan ertikata yang mudah, usaha membasmi kemiskinan atau miskin tegar tidak lagi hanya kerana kaum itu, tetapi kerana kemiskinannya secara individu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...