Tanggulian Dalam Kenangan.

Kira-kira lebih 30 tahun dulu, untuk mendatanginya bukanlah mudah. Dari pekan K.Penyu mengambil masa perjalanan lebih 2 jam dan mungkin juga 3 jam. Perjalanan untuk kesana juga merupakan sesuatu yang perlu dirancang rapi. Pertama, kenalah bangun seawal jam 5 pagi untuk berjalan kaki ke pekan K.Penyu sejauh lebihkurang 5KM. Hanya ada 2 atau 3 buah kenderaan yang boleh ditumpangi kesana dengan kadar tambang RM2.50 seorang. Waktu itu nilai RM2.50 barangkali hari ini sebesar RM25.00 .Sebelum itu ada perjalanan yang lebih murah melalui bas yang bergerak ke Menumbok, tambangnya RM1.80 tetapi saya sudah agak lupa bagaimana tiba-tiba perkhidmatan bas itu sudah tiada lagi. Saya hanya ingat-ingat lupa. Apa yang saya masih ingat bas tua itu berwarna merah dan tiket yang diberi kepada penumpang sama seperti tiket bas Luen Thung, TUT dan PUT yang masih beroperasi di bandaraya KK hari ini.

Inilah sedikit catatan mengenai Kg Tunggulian, terletak lebihkurang 30KM dari pekan KP tetapi waktu itu jarak itu terasa begitu jauh. Perjalanan ke sana terasa umpama berkunjung ke benua sebarang. Tanggulian terletak di kawasan bukit Kg Batu Linting. Saya tidak ingat siapakah yang mula-mula membuka kampung ini, tetapi mengikut cerita orang tua, orang yang pertama datang dan membuka tanah di sini ialah Pakcik Ejing (tidak tahu nama sebenar/nama penuh). Macam mana pun, dikalangan keluarga terdekat saya, Pakcik Euh iaitu bapa saudara saya merupakan orang yang pertama datang dan tinggal di sini. Saya tidak tahu bila tarikh Pakcik Euh berpindah ke sini tetapi kalau mendengar cerita ibu saya, saya agak mereka berpindah dan menatap di Tanggulian sekitar akhir 1960an. Jika benar, maka ketika itu sebenarnya saya belum lahir lagi. Apa yang saya ingat bekas tapak rumah mereka di Kg Kalimbata, sudah pun ditumbuhi semak samun.

Ketika kecil, saya selalu datang dan tinggal di Tanggulian kerana ibubapa saya membuka tanah dan bertanam padi bukit di sini. Jika musim bertanam padi maka kami akan tinggal di sini dan sekali sekala saja pulang ke Kg.Munjung. Sebenarnya waktu itu Tanggulian berada pada pelusuk yang amat terpencil sekecil, waktu siang dam malamnya terasa begitu sunyi. Ketika senja, suasana amat sayu dengan bungi dengingan 'tangil,' sejenis serangga yang mengeluarkan bunyi yang mendayu-dayu. Apapun Tanggulian banyak meninggalkan kenangan untuk saya. Di sinilah saya pernah di kejar oleh dua ekor monyet ketika saya berseorangan menjaga padi /menghalau pipit. Ketika saya berada di pondok kecil yang didirikan ditengah-tengah 'huma' kami, saya terlihat kelibat dua ekor monyet sedang memulas-mulas pohon padi. Saya lantas memekik untuk menakutkan monyet-monyet itu. Sangkaan saya dengan berkuat begitu monyet-monyet itu akan segara lari. Tetapi apa yang berlaku, monyet-monyet itu telah menyerbu naik ke pondok saya. Apa lagi pilihan saya selain terpaksa terjun lari menyelematkan diri ke rumah Pakcik Euh yang tidak jauh dari situ. Monyet-monyet itu mengejar saya tetapi kerana ketakutan saya, saya dapat berlari dengan lebih pantas. Jadi selamatlah saya daripada dicakar dan digigit monyet-monyet itu.

Hari ini, walaupun Tanggulian tidak banyak berubah wajah, tetapi segala situasi yang saya alami lebih 30 tahun dulu itu, telah jauh berubah. Hari ini saya tidak lagi melihat kelibat monyet-monyet yang dulu berani bersaing dengan manusia untuk mendapatkan makanan. Hari ini tiada lagi bunyi 'tangil' yang mendayu-dayu. Hari ini Tanggulian dipenuhi dengan kebun buah-buahan, getah dan ada sedikit kelapa sawit. Hari ini dari pekan KP, saya hanya perlu memandu dalam masa lebihkurang 30 minit untuk mendatangi Tanggulian. Saya sudah jarang datang ke sana kerana saya sudah banyak kehilangan apa-apa yang pernah saya ada di sana. Sekalipun Tanggulian bukanlah kampung dimana saya dibesarkan tetapi Tanggulian adalah kampung kedua saya. Namun begitu, sesuatu yang saya tidak sedikit pun menjangka bahawa kesemua orang-orang yang tersayang dalam keluarga saya, pergi dan menghembuskan nafas terakhir di Tanggulian. Nenek saya meninggal dunia di Tanggulian pada tahun 1984, ayah saya tahun 2001 dan datuk saya 2003, semuanya meninggal dunia di Tanggulian. Sekalipun saya tidak pernah jatuh cinta untuk tinggal di tanggulian tetapi kampung ini tetap meninggalkan banyak kenangan untuk saya. Setiap kali saya sepi, banyak kenangan yang membuat saya sebak bila teringat Tanggulian.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Batu Luang: Antara Nostalgia, Rahsia Dan Masa

Bersantai Di Tanjung Lipat...

Orang Tatana Kuala Penyu Suatu Ketika Dulu...