1 Syawal Di Kg.Telaga
Masjid Jamek Kg.Telaga
Kali pertama menyambut 1 Syawal di
Kg.Telaga Pitas Sabah,tidaklah menjadikan sesuatu yang asing buat saya. Tiada
yang kelihatan berbeza kerana suasana tetap sama, cuma orangnya saja yang
berlainan. Setelah lebih 16 tahun merayakan 1 Syawal di Kg.Rampayan Kota Belud, hari ini tiba giliran Kg. Telaga.
Seawal jam 6 pagi saya sudah bersiap sedia, ini kerana jika saya tiba lewat,
ianya akan memungkinkan ruang untuk menunaikan solat akan penuh. Bagaimanapun
seawal jam 7.35 pagi barulah saya dapat menuju ke masjed Jamek Kg.Telaga. Satu
yang sedikit menghairan, walaupun ketika tiba di masjid,waktu sudah pun pukul 7.45
pagi, tapi suasana dalam masjid masih lengang, belum ramai jemaah aidilfitri
yang tiba. Jika di masjid-masjid di
Bandar K.Kinabalu, sudah tentu dalam waktu-waktu begini, jemaah telah melimpah
ruah hingga ke jalanraya.
Setiba dalam masjid,seperti biasa
saya menyertai jemaah lain tertakbir membesarkan Illahi,sebelum tiba masa untuk
solat sunat aidilfitrti. Seperti biasa juga, sebelum solat dilangsungkan,
petugas masjid akan mengutip derma dan sumbangan daripada jemaah yang hadir.
Tetapi sedikit kelainan disini, dua orang petugas masjid yang ditugaskan
mengutip derma, melakukan dengan sedikit kelainan. Kebiasaannya petugas akan
membawa uncang melintasi depan setiap saf dan jemaah yang ingin menderma hanya perlu
meletak wang kedalam uncang. Tetapi di masjid jamek Kg.Telaga ini, dua orang
petugas yang diamanahkan mengutip derma dari jemaah, melakukannya dengan cara
menggantung uncang wang ditengkuk mereka sambil mendatangi para jemaah dengan
duduk berteleku didepan setiap jemaah.Walaupun cara ini agak memakan masa
sehingga solat sunat hanya dapat dimulakan pada jam 8.50 pagi tetapi sudah
tentu cara ini mempunyai simbolik dan
cerita asal mulanya. Sesuatu yang menyentuh perasaan apabila setelah selesai
solat dan bacaan khutbah, para jemaah berpelukan bermaaf-maafan sesama rakan
dan saudara-mara. Saya mengambil kesempatan berpeluk salam dengan khatib yang
baru turun dari mimbar. Walaupun kami saling tidak mengenali, tetapi amalan ini
terasa begitu mendekatkan ukhuwah antara kami, saudara seagama.
Meninggalkan masjid pada kira-kira
jam 9.30 pagi. Bapa mertua saya berpatah balik ke masjid.Tujuannya untuk
membawa ‘dulang’. Penduduk kg.Telaga mengamalkan amalan ‘berdulang’ dimana para
penduduk yang menyertainya,
masing-masing akan membawa makanan ke masjid untuk dinikmati bersama-sama di
masjid. Di kebanyakkan kampung di Kota Belud, amalan ‘berdulang’ tidak
dilakukan dengan membawa makanan ke masjid tetapi sebaliknya dihantar terus ke
rumah penerima yan ditentukan oleh pemberi sendiri. Sekalipun amalan ini hanya
dilakukan di beberapa buah kampung tertentu tetapi amalan seumpama ini sedikit
sebanyak merupakan satu praktis yang mampu mendekatkan semangat silaturrahim
dikalangan penduduk selain amalan kunjung mengunjung selepas itu.
Ulasan
Catat Ulasan