Mengimbau Zaman Silam Bangsaku...
Menurut cerita, salah satu daripada masyarakat peribumi Kuala Penyu ini menggelar diri mereka 'Tatana' ekoran daripada insiden masa silam mereka. Oleh kerana Kuala Penyu terletak di pesisir pantai maka kononnya waktu itu 'masyarakat' ini menghadapi serangan lanun atau penjahat secara bermusim. Saya membuat teori bahawa lanun atau penjahat itu datang menyerang dari laut dan mereka belayar sampai, mengikut tiupan angin monsun. Keadaan ini menyebabkan orang Tatana boleh mengagak waktu kehadiran musuh-musuh ini dan bagi menghadapinya mereka membina kubu bawah tanah untuk bersembunyi. Bermula daripada waktu itu maka orang-orang Tatana mendapat gelaran 'Tatana' mungkin bermaksud orang dalam tanah.
Selain gambar sekumpulan Bundu Dusun ini, adalah dua lagi gambar berkenaan Kuala Penyu. Satu gambar rumah lama dan satu gambar petani sedang membajak sawah. Saya percaya gambar rumah itu juga adalah milik Dusun Bundu kerana darisegi bentuknya, itu adalah bentuk rumah orang Tatana tradisional. Gambar membajak itu juga adalah kemungkinannya orang Tatana kerana bentuk peralatan tradisional itu sama dengan yang diguna oleh orang Tatana. Sebenarnya bentuk rumah dan alat membajak sawah itu, saya sempat menyaksikannya sebenar secara langsung. sekitar tahun 1970an masih banyak orang Tatana di Kuala Penyu yang rumah mereka seperti dalam gambar itu. Sekitar tahun 1973 ketika keluarga saya membuka tanah di Kampung Batu Linting, saya sempat membesar dalam rumah bentuk itu. Saya juga sempat ikut membajak sawah dengan alat pembajakan tradisional itu yang ditarik menggunakan tenaga kerbau.
Siapakah agakanya orang yang ada dalam gambar itu? Mungkinkah mereka adalah nenek moyang saya sendiri ? Tidak tahulah siapa, tetapi saya teruja dengan penemuan gambar-gambar lama ini. Mereka ialah genarasi yang hidup 150 tahun lebih awal daripada saya ? Saya percaya mereka juga berutur bahasa yang sama dengan bahasa yang saya guna hari ini tetapi barangkali hanya cara berfikir mereka saja yang berbeza. Salah seorang nenek saya dilahirkan pada tahun 1924, bermakna kalau dilihat pada tarikh gambar itu (sekitar 1900an), nenek saya mungkin sempat bertemu dengan salah seorang daripada yang ada dalam gambar itu. Tetapi sayang, nenek saya sudah lama tiada, jadi sejarah orang-orang dalam gambar itu telah hilang begitu saja.
Ulasan
Catat Ulasan